SAMPEL KARANGAN 1
Huraikan pendapat anda tentang kepentingan sektor industri pelancongan kepada rakyat dan negara . Panjangya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar atau pun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Kedatangan pelancong ke negara membawa seribu rahmat dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?
Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia kepada para pelancong. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat – tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Di negara kita pelancong juga boleh bermain sambil melawat tempat – tempat bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Jadi, bagi memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan seperti di Kota A – Famosa bertempat di Melaka Negeri Bersejarah. Di Kota A – Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat – tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak – kanak ataupun dewasa. Sekiranya sektor pelancongan menambat hati dan kedatangan para pelancong secara langsung negara mendapat sumber pendapatan tambahan tanpa bergantung kepada sektor perindustrian, pertanian, dan pembalakan sahaja. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita serta meningkatkan ekonomi negara.
Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara – negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan sahaja. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mempunyai kepelbagaian makanan berdasarkan kaum seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong asing ini akan memberikan mereka kelainan rasa makanan yang mustahil dijumpai di negara asal mereka dan ini akan menarik minat mereka untuk mengunjungi semula Malaysia selepas lawatan pertama mereka. Sekiranya, masyarakat Malaysia cakna dengan kepelbagaian masakan dan makanan tempatan serta mengambil kesempatan dengan kelebihan berkenaan dengan menyajikan menu berkenaan di premis mereka untuk dinikmati pelancong asing, sama ada di gerai-gerai makanan, restoran, dan hotel sudah pasti mereka dapat meningkatkan pendapatan sambil memperkasa sektor pelancongan. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan untuk menggamit kehadiran pelancong asing.
Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli – belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain – lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraftangan tempatan. Sekiranya, promosi yang hebat dilakukan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia di samping promosi agen-agen pelancongan yang terdapat di negara kita, sudah pasti bukan sahaja pengusaha pelancongan sahaja yang menerima kesan dari segi pertambahan pendapatan mereka tetapi juga penduduk tempatan yang menjalankan perusahaan kecil dan kraftangan juga menerima tempiasnya. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.
Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman melancong di Malaysia serta keunikan cenderamata yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosikan melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.
Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tercinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
SAMPEL KARANGAN 2
Kebanyakan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengimpikan kerjaya yang dapat menjamin masa hadapan mereka.
Huraikan faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja.
Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?” Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang diambil di kemudian hari. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu bidang kerjaya dalam kalangan pelajar SPM?
Fokus perbincangan pertama saya berkaitan faktor minat dan cita-cita pelajar semasa di bangku sekolah terutama dalam kalangan pelajar SPM. Minat dan cita-cita merupakan dua perkara saling berkait dan merupakan faktor paling dominan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang pelajar terutama pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh sebab itu, ketika mereka berada di tingkatan empat, pelajar perlu menentukan aliran yang mereka pilih, sama ada aliran sains atau sastera. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan cemerlang ke semua pakej mata pelajaran yang ditawarkan dalam jurusan yang diambil. Hal ini kerana kecemerlangan mereka tersebut membolehkan mereka meneruskan pengajian di menara gading untuk menggapai cita-cita mereka. Di Menara gading jugalah tepat mereka menimba ilmu berdasarkan kerjaya yang mereka cita-citakan, sama ada untuk menjadi golongan pekerja profesional seperti doktor, peguam, pendidik, pentadbir dan sebagainya. Jikalau pelajar berusaha sudah pasti mereka akan menggapai kerjaya yang mereka impikan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya, faktor minat dan cita-cita merupakan dua aspek penentu utama kejayaan pelajar untuk merealisasikan kerjaya mereka cita-citakan.
Selain faktor minat dan cita-cita, pelajar juga perlu memilih mata pelajaran yang ada kaitan dengan kerjaya yang mereka pilih. Umumnya kita mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat persediaan yang rapi umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pada zaman yang serba canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut diberi keutamaan kerana hanya jauhari sahaja yang mengenali manikam. Contohnya, jika pelajar memilih kerjaya sebagai seorang jurutera, subjek yang mereka mesti pilih ialah Lukisan kejuruteraan. Jikalau pelajar berjaya menguasai mata pelajaran berkenaan sudah pasti mereka ada kelebihan untuk menggapai kerjaya yang diidam-idamkan. Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, pemilihan mata pelajaran juga penting untuk menentukan kejayaan pelajar merealisasikan kerjaya yang mereka minati.
Bahkan juga, pelajar yang mengidamkan kerjaya yang diminati perlu mempunyai tokoh atau idola sebagai motivasi untuk berjaya. Kebiasaaanya, idola yang dipilih perlulah seorang yang unik, seorang yang tabah, dan berjaya dalam bidang kerjayanya. Sebagai contoh Hijjaz Kasturi, seorang arkitek luar biasa negara, mendapat pendidikan di Adelaide University dan seterusnya ke Melbourne University, Australia. Sekembalinya ke Malaysia tahun 1967, beliau telah memiliki kemahiran tersendiri dan menerajui bidang arkitek negara. Beliau telah memenangi pertandingan rekebentuk menara Maybank, bangunan Tabung Haji dan menara Telekom. Setiap rekabentuk bangunannya menerapkan ciri-ciri keIslaman hingga ke hari ini sehingga namanya tersohor di Persada dunia. Sekiranya pelajar mempunyai idola sendiri, sudah pasti kerjaya pilihan mereka sebagai seorang arkitek akan dapat direalisasikan kerana setiap sejarah kejayaan serta teladan seperti ketekunan, kegigihan dan kekreatifan idola mereka memotivasikan mereka untuk berjaya bukan sahaja di Malaysia malah keseluruh dunia. Tegasnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya menggapai kerjaya idamannya memerlukan idola agar dapat mempengaruhi minda dan semangat mereka untuk berjaya.
Selain itu, sokongan dan doa ibu bapa amat perlu untuk memastikan kerjaya idaman remaja dapat direalisasinan. Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, sudah tentulah punah harapan mereka. Hal ini bermakna, seseorang yang hanya mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka akan kecundang di peringkat awal lagi. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan kedua-dua ibu bapa. Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan. Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada dalam bentuk material mahupun spiritual. Sekiranya, ibu bapa tidak turut serta membantu usaha anak mereka untuk menggapai kerjaya idaman mereka sudah pasti usaha berkenaan tidak akan kesampaian. Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan anak-anak mereka.
Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi keutamaan dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi.